Sejarah IDO
Bagaimana Terlahirnya Institut Dato’ Onn.
Institut Dato’ Onn (IDO), yang dahulunya dikenali sebagai Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS) ditubuh khas untuk memastikan Johor dan Malaysia terus diterajui oleh pemimpin muda yang berjiwa pragmatik dan penuh kaliber.
Sejak penubuhannya pada 19 Januari 2000, IKLAS terus meletakkan komitmen tertinggi untuk memupuk pemimpin cemerlang dalam pelbagai sektor, terutamanya dalam bidang politik, ekonomi dan pembinaan komuniti. IKLAS percaya bahawa individu yang mengutamakan wawasan sejarah yang mendalam, serta etika yang utuh, akan menjadi pelindung utama kedaulatan negeri dan bangsa Johor.
Komitmen itu berterusan selaras dengan penjenamaan semula sebagai IDO, disamping menjadi jurucakap bagi Kerajaan Negeri Johor dan sebagai medium untuk menyebarkan mesej dan inisiatif untuk segenap pelosok lapisan masyarakat.
Kini, IDO telah berevolusi menjadi sebuah Sekolah Kepimpinan Muda, selari dengan kebolehannya menjadi pemangkin untuk pemimpin muda yang diiktiraf Datuk Onn Hafiz bin Dato’ Onn Ghazi, Menteri Besar Johor. Sebagai pusat mengembangkan bakat, menjelang tahun 2030, IDO akan menghasilkan pemimpin muda bertaraf nasional yang akan menerajui dan membawa IDO ke tahap yang tertinggi, demi bangsa dan negara.
Director's Note
Nota Pengarah
Sahabat-sahabat dan rakan kongsi yang dihormati,
Dengan sukacitanya saya menulis nota ini sebagai Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO), sebuah sekolah kepimpinan yang sedang menjalani transformasi bagi memenuhi keperluan Johor dan Malaysia dalam melahirkan pemimpin belia bertaraf kebangsaan menjelang 2030. Saya dengan rasa rendah diri ingin berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang diberi oleh Menteri Besar Johor, yang telah bermurah hati menggandakan bajet program kami, mencerminkan keyakinan beliau terhadap visi kami.
Di IDO, kami percaya bahawa kepimpinan bukan sahaja sebuah sifat yang seseorang miliki sejak azali, tetapi merupakan sebuah kemahiran yang WAJIB dibangunkan dengan latihan dan bimbingan yang betul. Cabaran kami adalah untuk mencari bakat yang sesuai, yang mempamerkan keinginan untuk menyumbang kembali kepada negeri Johor dan negara Malaysia, dengan menyediakan mereka dengan sumber dan peluang untuk berkembang menjadi pemimpin yang bijak, rendah diri, berwawasan, berani dan inklusif.
Kami faham bahawa tidak banyak organisasi mempunyai sumber untuk melabur dalam kepimpinan belia pada skala ini, tetapi kami percaya peluang untuk membentuk pemimpin yang menjiwai nilai-nilai Johor dan kemahiran yang betul akan mempercepatkan kemajuan negeri Johor dan negara Malaysia. Kami berharap alumni kami akan terus membawa nama baik kami ke mana-mana sahaja mereka berada dan terus menyumbang kepada pembangunan negara kita.
Saya juga ingin menyeru sahabat dan rakan kongsi yang berkongsi falsafah kami untuk tampil ke hadapan dan bekerjasama dengan IDO. Saya sentiasa percaya bahawa setiap insan ditakdirkan untuk memangkin perubahan, tidak kira sesukar mana keadaannya. Saya amat percaya bahawa kita adalah golongan tersebut, dan kami memerlukan semua bantuan yang kami boleh perolehi.
Terima kasih kerana menyertai kami dalam perjalanan mengubah IDO menjadi institusi elit yang melahirkan pemimpin belia kelas kebangsaan untuk negeri Johor menjelang tahun 2030. Marilah bersama-sama berganding bahu dan terus bekerjasama mencapai kegemilangan.
Terima kasih, Gadaffie Aziz